Sudan Derita Kebuluran Terburuk Dunia, Separuh Populasi Terjejas – Islamic Relief

PETALING JAYA: Setelah dua tahun diselubungi konflik tanpa henti, Sudan kini dilanda satu lagi malapetaka iaitu krisis kebuluran terburuk di dunia pada ketika ini.

Kelaparan terus menular, mencengkam jutaan nyawa dan menjerumus negara itu di ambang bencana kemanusiaan berskala besar.

Musim hujan yang dijangka tiba pada bulan depan bakal menyukarkan lagi usaha pengihan bantuan ke kawasan-kawasan terjejas.

Agensi kemanusiaan kini bergantung paut dengan masa untuk menyelamatkan apa yang masih boleh diselamatkan.

Persidangan London yang berlangsung pada 15 April lalu, yang merupakan hasil anjuran bersama UK, Perancis dan Jerman dengan penyertaan lebih 20 Menteri Luar, menjadi titik penting dalam usaha mendesak tindakan segera.

Menerusi satu kenyataan media, Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan NGO, Islamic Relief antara organisasi kemanusiaan yang paling aktif di lapangan, menggesa kerajaan seluruh dunia bertindak sekarang sebelum lebih ramai nyawa terkorban.

Laporan terkini menyatakan, kebuluran telah diisytihar secara rasmi di lima kawasan termasuk di wilayah Darfur dan Kordofan, manakala 17 lagi lokasi dijangka menyusul dalam beberapa minggu.

Hampir 25 juta penduduk Sudan dikatakan masih terperangkap dalam krisis kekurangan makanan yang kronik.

Lebih menyayat hati, sekatan dana antarabangsa terhadap bantuan kemanusiaan terus berlaku, walaupun situasi semakin meruncing.

Kebelakangan ini, ratusan nyawa melayang bukan hanya kerana kelaparan, tetapi akibat serangan kejam ke atas orang awam yang tidak berdosa.

Di kem pelarian di Gedaref, Sudan Timur, Hiba Mohammed Daba, 45, yang melarikan diri dari serangan di Kordofan Utara, berkongsi kisah penuh duka.

“Saya tahu sekurang-kurangnya lima orang mati kelaparan di kem ini.

Saya hanya makan sekali sehari tepung, air dan gula.

Anak-anak semakin lemah, kurus, sering sakit.

Kalau keadaan ini berterusan, kami semua akan mati perlahan-lahan,” katanya

Kakitangan Islamic Relief yang bertugas dari Darfur hingga ke kem-kem pelarian di Timur Sudan turut melaporkan keadaan yang semakin terdesak.

Episod kehilangan ahli tersayang akibat kelaparan, manakala Kanak-kanak pula semakin ramai tanda kekurangan zat makanan serius.

Menurut Pengarah Negara Islamic Relief Sudan, Elsadig Elnour, konflik yang berlarutan selama dua tahun ini telah merosakkan keseluruhan struktur kehidupan rakyat Sudan.

“Petani diusir dari tanah, pasar diserang, lori makanan dirompak.

Bandar-bandar dikepung. Ini bukan sekadar peperangan, ini pemusnahan sistematik,” katanya.

Lebih menyedihkan, Pelan Tindak Balas Kemanusiaan Sudan 2025 yang digerakkan oleh PBB hanya menerima kurang 10 peratus daripada dana yang diperlukan walaupun tahun sudah memasuki suku kedua.

Islamic Relief menegaskan, usaha bantuan akan terus diganggu jika dana tidak ditambah segera dan akses ke kawasan kritikal terus dihalang oleh pihak-pihak bertelagah.

“Ketika dunia sepatutnya menambah bantuan, dana pula dipotong.

Sedangkan jutaan nyawa bergantung pada bantuan ini,” kata Elnour lagi.

Dalam keadaan mencabar, komuniti tempatan menjadi benteng terakhir, mereka terpaksa menubuhkan dapur komuniti, menyediakan tempat perlindungan dan berkongsi apa sahaja yang tinggal walaupun mereka sendiri berdepan risiko keselamatan dan kekurangan sumber.

Islamic Relief turut menyalurkan bantuan tunai kepada ribuan keluarga melalui projek khas agar mereka boleh membeli makanan di pasar tempatan yang masih beroperasi.

Namun katanya, ini semua hanyalah penyelesaian jangka pendek, Islamic Relief menegaskan penyelesaian sebenar adalah dengan rundingan

Katanya, penyelesaian sebenar adaah dengan melakukan rundingan damai yang inklusif melibatkan suara rakyat termasuk golongan wanita, belia dan semua etnik.

“Proses damai mesti dihidupkan semula, bukan sekadar di atas kertas, tetapi dalam tindakan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat