PUTRAJAYA: Malaysia akan terus menjadi rakan yang setia dan berprinsip kepada China, selari dengan hubungan strategik yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, dasar luar Malaysia dan China dibina berasaskan visi bersama yang menekankan kepentingan dua hala serta keseimbangan dalam kepaksian ASEAN.
“Hubungan ini tidak hanya disandarkan pada angka dagangan atau statistik pelancong semata-mata, tetapi berakar pada pemahaman mendalam bahawa kemakmuran yang ingin dikekalkan mesti dikongsi bersama.
“Kepercayaan yang telah dipupuk juga mesti dijaga dengan penuh hati-hati, kesabaran dan komitmen,” ujar Anwar.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan malam rasmi bersama Presiden China, Xi Jinping, di Kompleks Seri Perdana, malam tadi, sempena lawatan rasmi Presiden China ke Malaysia.
Dalam ucapannya, Anwar turut menyatakan bahawa walaupun dunia kini berubah dalam pelbagai aspek, hubungan Malaysia-China kekal utuh dan terus diperbaharui menerusi dialog yang konstruktif serta tindakan yang berterusan.
China, kata beliau, terus menjadi rakan dagang utama Malaysia, dengan pengaruhnya meresap dalam pelbagai aspek pembangunan negara dari pertukaran barangan dan idea, hingga ke inovasi, infrastruktur dan transformasi tenaga.
Anwar turut mengangkat kepimpinan Xi Jinping yang telah memperkenalkan pelbagai inisiatif global yang mencerminkan pandangan dunia tersendiri antaranya Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global serta Inisiatif Peradaban Global.
“Inisiatif-inisiatif ini bukan hanya menekankan keterhubungan fizikal melalui rangkaian jalan dan rel, malah memperkukuh semangat kerjasama, keterangkuman dan saling menghormati perbezaan budaya sebagai asas keharmonian,” ujarnya.
Baca juga: