GAZA: Lebih 1 juta penduduk Palestin kini berisiko menghadapi kesan buruk akibat kekurangan bekalan makanan, selepas Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa stok makanan di wilayah itu mencapai tahap kritikal.
Agensi berkenaan memaklumkan, operasi bantuan termasuk dapur jalanan yang menjadi sumber makanan utama buat penduduk mungkin terpaksa dihentikan mulai Isnin jika bekalan baharu gagal dibawa masuk.
Kekurangan stok makanan serta kesukaran mendapatkan akses ke kawasan terjejas akibat konflik berterusan menjadi halangan utama kepada WFP dalam meneruskan bantuan kemanusiaan.
Setakat ini, WFP telah menyalurkan bantuan kepada lebih sejuta penduduk yang amat bergantung kepada agensi itu untuk kelangsungan hidup. Tanpa bantuan segera, penduduk berisiko berdepan kebuluran serta kekurangan zat makanan dalam skala besar.
WFP turut menggesa agar laluan bantuan dibuka serta-merta bagi memastikan agihan makanan dapat diteruskan dan krisis kemanusiaan di Gaza tidak terus meruncing.
Baca juga: