BANGKOK: ASEAN secara kolektif menolak sebarang bentuk tarif yang dikenakan secara unilateral, termasuk oleh Amerika Syarikat (AS), kerana ia bercanggah dengan prinsip multilateralisme dan perdagangan bebas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu dicapai menerusi konsensus bersama ASEAN dan turut disokong oleh Jepun serta New Zealand. Menurutnya, langkah terbaik adalah melalui mekanisme pelbagai hala dan dialog.
“Kita mengambil pendirian bahawa kita tidak bersetuju dengan sebarang pengenaan tarif secara unilateral kerana ia bertentangan dengan prinsip perjanjian pelbagai hala,” katanya dipetik dalam sidang media sempena lawatan kerja dua hari ke Thailand.
Anwar turut membincangkan isu itu bersama rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra, berhubung pelaksanaan tarif baharu oleh Presiden AS, Donald Trump, yang menyasarkan negara-negara ASEAN, khususnya rantau Indochina.
Menurut Anwar, pentadbiran Trump mengenakan tarif minimum 10 peratus ke atas semua negara bermula 3 April lalu. Antara negara paling terjejas ialah Kemboja (49 peratus), Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).
Malaysia dan Brunei masing-masing dikenakan tarif sebanyak 24 peratus, diikuti Thailand (36 peratus), Indonesia (32 peratus), Filipina (17 peratus) dan Singapura pada kadar asas 10 peratus.
Bagaimanapun, tindakan balas terhadap tarif itu ditangguhkan selama 90 hari kecuali ke atas China, sementara ASEAN mengekalkan pendirian tidak mengambil tindakan balas dan terus menyokong rundingan secara bersepadu.
Baca juga: