Pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam oleh Saifuddin Nasution tidak salah dalam undang-undang

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan, sesi pendaftaran perkahwinan yang dijalankan di JPN melibatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berlandaskan undang-undang sivil di bawah Akta 164.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, proses pendaftaran Perkahwinan Sivil terbabit tidak melibatkan atau menyerupai, melambangkan dan dipengaruhi dengan mana-mana ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.

“Lafaz ikrar yang dituturkan oleh pendaftar adalah perkataan yang terkandung dalam Seksyen 23, Akta 164 yang berbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata.

“Ianya juga persetujuan dan kesanggupan pasangan menerima perkahwinan tersebut dengan rela hati tanpa paksaan dari mana-mana pihak.

“Malah sesi pendaftaran Perkahwinan Sivil dengan YB (Yang Berhormat) Menteri (Saifuddin Nasution) ini diadakan sebagai acara istimewa untuk pasangan terpilih ketika sambutan Hari Pendaftaran Negara setiap tahun,” katanya.

Reaksi tersebut diberikan berikutan tular video memaparkan Saifuddin melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil pasangan bukan Islam di Pejabat JPN Putrajaya sempena Majlis Sambutan Jubli Intan JPN.

“Video terbabit adalah rakaman yang mana YB Menteri dijemput oleh JPN untuk merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Jabatan.

“Antara pengisian program adalah mendaftarkan perkahwinan sivil dua pasangan yang sudah dipilih oleh JPN.

“JPN adalah agensi yang bertanggungjawab melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil serta merekodkan maklumat perkahwinan dan perceraian bagi bukan Islam selaras dengan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164],” katanya.

Berdasarkan akta itu, katanya, Menteri Dalam Negeri adalah menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran perkahwinan sivil yang mana ia membolehkan beliau melakukan pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam.

Selain Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Perceraian, Pengarah Pendaftaran Negeri serta pegawai dan kakitangan JPN yang bertugas di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian sebagai Timbalan Pendaftar Perkahwinan turut diberikan kuasa terbabit.

Anda Mungkin Berminat