PETALING JAYA: Ketua Wanita AMANAH, Datuk Aiman Athirah Sabu mendakwa pengumuman bekas ADUN UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin menyerahkan borang keahlian kepada PAS sebagai propaganda murahan kempen.
Beliau menyifatkan PAS tidak lagi mempunyai ‘modal’ untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning kerana menjaja isteri ahli sendiri sebagai bahan kempen.
“Habis modal, isteri juga dijaja.
“Permohonan yang tertangguh atau permohonan yang diperbaharui sebagai gimik dan propaganda murahan kempen PN PRK N48 Ayer Kuning?
“Isteri bekas calon PAS PRU15 serah borang penyertaan PAS kepada Presiden PAS. Lambat,” tulisnya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
Pada Sabtu, PAS mengumumkan penyertaan Wan Norashikin daripada UMNO untuk menyertai parti itu.
Borang keahlian Wan Norashikin, 52, diserahkan kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena Ceramah Mega PRK DUN Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat, Tapah.
Wan Norashikin yang hadir berjubah hitam dan berniqab ditemani suaminya iaitu Setiausaha PAS Kawasan Tapah, Muhammad Noor Farid Zainal.
Untuk rekod, suaminya iaitu Muhammad Noor Farid Zainal pernah bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di DUN Ayer Kuning.
Bekas Ketua Wanita UMNO Perak itu menang di kerusi DUN Kampong Gajah selama dua penggal iaitu pada 2008-2013 dan 2018-2022.
Pada 2018 lalu, Wan Norashikin menewaskan calon PAS dengan majoriti 1,416.
Pada PRU14 pula, beliau menewaskan calon PAS dan Pakatan Harapan (PH) dengan memperoleh 11,026 undi.
Wan Norashikin diberi peluang bertanding semula pada PRU15 di kerusi sama, namun tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Zafarulazhan Zan yang mewakili PAS.
Dalam kerajaan Perak, beliau diberi kepercayaan menerajui Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri sejak 2020 hingga 2022.
Mantan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak itu diuji dengan pemergian suaminya, Allahyarham Edi Razman Mohd Ismail yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Mei 2021.