PETALING JAYA: Disebalik kritikan terhadap sistem pengundian secara digital dalam pemilihan PKR baharu-baharu ini, sebaliknya tokoh veteran parti itu tampil memuji sistem berkenaan.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyatakan pilihan raya PKR sekarang adalah satu revolusi demokrasi di peti undi.
Menurutnya, pengundian secara digital tercanggih ini melakukan pembersihan dalam kepimpinan di peringkat 222 Cabang di seluruh negara dan di seluruh kawasan Parlimen Malaysia.
“…. telah berjaya membuang politik kartel dan politik elit yang telah merosakkan Parti Keadilan Rakyat dalam beberapa tahun terakhir ini sejak PKR menjadi parti politik terpenting dalam kerajaan yang sedang memerintah sama ada di dalam kerajaan Persekutuan di Putrajaya atau kerajaan-kerajaan negeri,” katanya.
Dalam kenyataan itu, Hassan yang terkenal dengan kelantangannya bersuara juga merumuskan bahawa kekalahan tokoh-tokoh besar dalam kumpulan yang bergabung atas platform ‘Ayuh Malaysia’ kali ini kerana cuma menyisihkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pemilihan 2022 lalu.
“… kini dalam pemilihan PKR 2025 yang baru berlangsung (mereka) menemui kekalahan mengejut ramai tokoh-tokoh besar “Ayuh Malaysia” di tangan calon-calon akar umbi yang tak ada nama, tak ada jawatan Menteri atau Timbalan Menteri atau bukan jawatan Ahli Parlimen atau MP,” katanya.
Untuk rekod, tidak jelas siapa tokoh-tokoh besar dalam platform kartel ‘Ayuh Malaysia’ yang dimaksudkan oleh Hassan.
Tetapi merujuk kepada keputusan pemilihan PKR kali ini beberapa nama yang dikaitkan dengan kumpulan Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli tewas dalam pemilihan kali ini.
Mereka adalah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad di Setiawangsa yang kalah kepada Datuk Afdlin Shauki.