Presiden PAS salah tafsir Perjanjian Hudaibiyah – PKR

PETALING JAYA: Saranan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggunakan peristiwa Perjanjian Hudaibiyah sebagai alasan untuk menangguhkan ibadah haji atau umrah demi kepentingan politik telah mencetuskan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amidi Abdul Manan menegaskan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah mengutamakan agenda politik melebihi pelaksanaan ibadah.

“Beliau (Hadi) menggunakan hujah bahawa Rasulullah SAW sendiri menangguhkan ibadah umrah dan pulang ke Madinah kerana terhalang dengan persetujuan dalam Perjanjian Hudaibiyah.

“Benarkah pemikiran sedemikian? Pertembungan dalam pilihan raya disamakan dengan perang Rasulullah SAW menentang kafir Quraisy?” soalnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Amidi turut memperjelaskan, peristiwa Hudaibiyah membuktikan keikhlasan niat Rasulullah SAW yang tidak pernah dibayangi oleh kepentingan politik.

Rasulullah, ujarnya, mengambil langkah damai untuk mengelakkan fitnah terhadap dakwah Islam, sekali gus mematuhi bulan Zulkaedah merupakan bulan haram berperang dalam budaya masyarakat di Jazirah Arab ketika itu.

“Mengatakan bahawa Rasulullah SAW mendahulukan kemenangan politik berbanding melaksanakan umrah atau haji adalah dakwaan yang mengelirukan.

“Orang yang berihram dilarang berperang, apatah lagi dalam bulan haram,” katanya.

Amidi menyeru umat Islam untuk memusatkan ketaksuban kepada Allah dan Rasulullah, bukan kepada individu tertentu.

“Maka marilah kita menjadi pentaksub Allah dan pentaksub Rasulullah, jangan kita menjadi pentaksub Haji Hadi,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat