Pope Francis akan dikenang sebagai suara penuh belas kasihan dalam dunia bergolak – Anwar

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah atas pemergian pemimpin utama Gereja Roman Katolik, Pope Francis, yang meninggal dunia pada usia 88 tahun di Vatican City pada pukul 7.35 pagi waktu tempatan.

Pengumuman rasmi dibuat oleh Pegawai kanan Gereja Katolik, Kardinal Kevin Farrell, melalui saluran TV Vatican.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar berkata, mendiang Pope Francis akan dikenang sebagai pope pertama dari Selatan Global dan sebagai suara moral yang penuh belas kasihan, kerendahan hati, dan keadilan dalam dunia yang bergolak.

Beliau turut memuji komitmen Pope Francis terhadap persefahaman antara agama, penjagaan alam sekitar dan usaha memperjuangkan maruah golongan terpinggir.

Kata Anwar, usaha beliau (Pope Francis) untuk menggesa keamanan di Gaza juga mendapat perhatian dunia.

“Pope Francis adalah penyokong yang teguh untuk keamanan dan usahanya untuk membina jambatan merentasi agama dan budaya mendapat penghormatan ramai termasuk di dunia Islam.

“Pope Francis bercakap dengan moral yang jelas mengenai penderitaan yang teruk di Gaza, mengingatkan dunia bahawa kita mesti menunjukkan belas kasihan yang sama kepada semua mangsa keganasan, di mana sahaja mereka berada,” katanya.

Anwar juga menekankan perjuangan Pope Francis dalam mempertahankan maruah pendatang dan pelarian serta menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak balas terhadap nasib mereka dengan kemanusiaan dan hati nurani.

“Secara peribadi, saya mendapat penghormatan untuk melawat Pope Francis semasa awalnya di Vatican.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada pihak Holy See kepada penganut Katolik di seluruh dunia termasuk khususnya kepada masyarakat Katolik di Malaysia.

“Semoga legasi beliau berkekalan,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat