PETALING JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menyatakan persetujuan untuk menerima pencalonan tunggal sebagai Yang Dipertua (YDP) Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) bagi tempoh 2025-2028.
Dalam kenyataan medianya, Abang Johari merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli PERKIM atas keyakinan dan sokongan yang diberikan kepadanya untuk menerajui pertubuhan kebajikan Islam tersebut.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, penyandang Yang Dipertua PERKIM atas jasa dan bakti beliau selama memimpin PERKIM sejak 2006.
“Saya akan meneruskan usaha beliau sebaik mungkin untuk mencapai hasrat dan dasar para tokoh pengasas PERKIM, khususnya Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam usaha menjaga kebajikan umat Islam,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Abang Johari turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga penyandang jawatan Naib Yang Dipertua PERKIM dan Datuk Mohd Nakhaei Ahmad atas sokongan mereka terhadap pencalonannya.
Semalam, kedua-dua tokoh berkenaan telah menarik diri daripada pencalonan dan secara terbuka menyatakan sokongan kepada Abang Johari untuk mengambil alih kepimpinan PERKIM Kebangsaan.