SPM 2024: Anak Menteri Pendidikan Raih 8A

PETALING JAYA: Anak kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Fadhlina berkongsi berita gembira itu di Facebooknya sebelum melakukan tinjauan penyerahan keputusan SPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Kajang.

“Kerana kami sayangkan anda dan kami doakan anda. Tahniah buat semua anak-anak yang mengambil keputusan SPM pada hari ini. Khususnya buat anakanda kesayangan kami, Sarah.

“Kesyukuran kami panjatkan kepada Allah SWT untuk nikmat ini. Pastinya kerana usaha Sarah yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam pelajarannya,” ucap Fadhlina.

Menerusi perkongsian yang sama, Fadhlina turut memberi hak membuat keputusan masa hadapan kepada anak gadisnya.

“Untuk Sarah, terima kasih atas keputusan cemerlang ini. Mama dan Baba pulangkan kepada Sarah untuk pilihan langkah selanjutnya. Nampak gaya jika tidak pengajian Islam/ syariah pastilah undang-undang. Macam Mama dan Baba juga!

“Terima kasih buat semua guru/asatizah yang mendidik Sarah. Begitu juga sahabat -sahabat karib Sarah yang sentiasa bersama Sarah dalam perjalanan ilmu ini. Begitu juga ahli keluarga kami yang sentiasa,” tulisnya.

Dalam meraikan kejayaan anaknya, Fadhlina turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang mengambil keputusan dan menitipkan pesan kepada ibu bapa calon.

“Apa pun keputusan anak-anak kita pada hari ini, ucapkan tahniah dan bersyukur. Reda atas keputusan mereka kerana ia adalah usaha anak-anak kita mengikut daya dan kemampuan mereka. Teruskan memberi pedoman dan bimbingan agar mereka terus menyambung pendidikan mereka ke peringkat yang tertinggi,” katanya.

Tahun lalu, anak sulungnya yang belajar di Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut memperoleh keputusan cemerlang dengan 9A 2B dalam SPM.

Ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2024, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, ia merekodkan pencapaian terbaik sejak 2013, dengan mencatat Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.49 berbanding 4.60 pada 2023.

Menurutnya, bilangan calon mendapat sekurang-kurang kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2024, turut meningkat kepada 86,040 orang berbanding 83,112 pada 2023.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat