Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed meramalkan dalam tempoh tiga bulan lagi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan menghentikan pelaksanaan terhadap kenaikan tarif timbal balik baharu terhadap import ke Amerika Syarikat (AS).
Tun Mahathir berkata tarif yang dikenakan itu lebih memberi tekanan kepada AS berbanding negara dunia yang lain.
“Keseluruhan idea terhadap tarif itu hanya sekadar mahu meningkat harga barang import dan ini membuatkan harga produk tempatan lebih mudah dijual,” ujar Tun M menerusi Facebooknya hari ini.
Namun katanya, situasi itu bergantung kepada ketersediaan produk tempatan sedangkan AS tidak mempunyai banyak produk tempatan.
“Ini kerana selama lebih sedekad, AS bergantung kepada produk import kerana ia lebih murah.
“Malah AS hasilkan produknya sendiri di negara asing kerana kosnya lebih murah,” katanya.
Tambahnya, Produk AS seperti Iphone sememangnya dihasilkan di China dan India sebelum dijual ke seluruh dunia termasuk AS sendiri kerana kos yang lebih rendah.
“Jika tarif tinggi dikenakan ke atas import, keluaran produk Iphone oleh syarikat Apple yang dihasilkan di China akan menjadi lebih mahal sebanyak 120 peratus berbanding di negara lain.
“AS bukan pengeluar iPhone, jika import jadi mahal kerana tarif tinggi, maka tidak akan ada iPhone tempatan untuk memenuhi permintaan AS,” ujarnya.
Demikian itu katanya, Trump dilihat terpaksa menangguhkan tarif yang diumumkan tinggi pada ketika itu ke atas barangan elektronik.
Tambah Tun M, tindakan Trump itu akan membuatkan meningkatnya kos sara hidup yang tinggi negaranya sendiri.
“Kos sara hidup yang tinggi akan menyebabkan gaji turut meningkat. Ini sekali lagi akan meningkatkan pengeluaran dan kos sara hidup,” katanya.
Tun M turut menjangkakan, Amerika akan kehilangan pasar luar negara kerana produknya tidak mampu lagi bersaing di pasaran dunia.

“Akan berlaku banyak protes dan demonstrasi oleh rakyat Amerika. Ia tidak akan menjadi hebat,” katanya.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus dikenakan terhadap Malaysia dan beberapa negara dagangnya mengikut kadar masing-masing.
Bagaimanapun, keputusan tersebut ditangguhkan selama 90 hari ke atas tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara kecuali China.
Langkah itu disifatkannya sebagai hasil rundingan diplomatik dan semangat muhibah sebagai faktor.
Baca juga: