PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyatakan ketidaksetujuannya terhadap tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menyiasat Aliff Ahmad berikutan satu hantaran yang dibuat olehnya.
Dalam kenyataan media hari ini, Nurul Izzah menegaskan bahawa meskipun beliau tidak mengenali Aliff Ahmad secara peribadi, beliau percaya setiap individu berhak menyuarakan pandangan dan cabaran, asalkan ia mematuhi garis panduan undang-undang.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya mahupun mana-mana pegawai saya tidak pernah membuat sebarang laporan kepada MCMC terhadap saudara Aliff Ahmad,” katanya, menafikan sebarang penglibatan dalam isu tersebut.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dalam membuat tuduhan yang boleh merosakkan reputasi tanpa asas kukuh.
Prinsip ‘berani kerana benar’ harus dijunjung tinggi dalam setiap tindakan, tegasnya.
Aliff Ahmad, dalam satu hantaran di Facebook malam tadi, mendakwa telah dipanggil oleh MCMC selepas mencabar untuk melakukan ‘scrut’ ke atas Nurul Izzah.
Menurut Aliff, beliau menerima notis daripada MCMC untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu di Cyberjaya pada pukul 8 malam.
Namun, beliau tidak dapat memenuhi permintaan tersebut dan berjanji untuk hadir pada pagi ini.
Sebelum ini, Aliff menawarkan untuk menjalankan ‘scrut’ ke atas kerjaya dan sumber pendapatan Nurul Izzah jika hantaran Facebooknya mencapai 20,000 perkongsian.
“Ramai yang tanya, kerja apa Nurul Izzah? Dari mana dia dapat duit untuk hidup dan berpolitik? Ada bisnes apa?
“Kalau dapat 20,000 perkongsian, aku buatkan. Itu syaratnya. Keputusan di tangan korang,” tulisnya dalam hantaran tersebut.