PRK Ayer Kuning: Calon BN tidak berdepan cabaran besar kekalkan kerusi- Ilham Centre

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Selepas dua minggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Ilham Centre dalam satu laporan mendapati Barisan Nasional (BN) berada pada landasan kukuh untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Namun, katanya, tumpuan utama terletak pada keberkesanan kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.

Persoalannya, adakah kerjasama itu mampu melonjakkan sokongan pengundi bagi mencapai sasaran majoriti tinggi 18,000 undi, seperti yang diimpikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarin Mohammad?

Menurut Ilham Centre, sasaran itu memberi tekanan besar kepada jentera kempen kedua-dua parti.

Majoriti responden juga sasaran tersebut adalah mencabar untuk direalisasikan, katanya.

Sementara itu, bagi pihak Perikatan Nasional (PN), katanya, fokus mereka adalah mempertahankan momentum sokongan di kalangan pengundi Melayu terutamanya generasi muda yang menjadi penyumbang utama kekuatan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Jika PN berjaya mengekalkan jumlah undi terdahulu, ia sudah dianggap sebagai pencapaian besar.

“PRU lalu menyaksikan PN menguasai empat Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti Melayu di Ayer Kuning, sekali gus mencabar dominasi tradisi UMNO,” kata kenyataan itu.

Justeru, Ilham Centre berkata, PRK Ayer Kuning kali ini menjadi medan kritikal untuk menentukan hala tuju politik setempat.

Tambahnya, ia adalah ujian keberkesanan Kerajaan Perpaduan BN-PH dan juga penanda aras untuk menilai sejauh mana PN mampu mengekalkan pengaruh di kalangan pengundi muda Melayu.

Selain itu, katanya, faktor calon juga dijangka menjadi elemen penting yang mempengaruhi keputusan pengundian.

Anda Mungkin Berminat