PETALING JAYA: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Bahru, Mohammad Taufiq Ismail menggesa Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk segera menyiasat tindakan bekas Ketua Cabang Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nassir.
Langkah itu, menurut Taufiq, penting untuk menjaga integriti dan imej parti.
Memetik laporan Malaysia Gazette, Akmal didakwa mengumumkan keputusan tidak rasmi jumlah undi bagi jawatan Ketua Cabang Johor Bahru di media sosial pada 20 April lalu.
Dalam hantaran tersebut, Akmal memaparkan jumlah 949 undi tanpa pengesahan rasmi daripada JPP.
“Kenyataan tersebut mendahului pengumuman rasmi JPP dan seolah-olah cuba menekan pihak jawatankuasa untuk menerima angka itu sebagai muktamad,” katanya.
Oleh itu, Taufiq telah mengemukakan bantahan rasmi kepada JPP dengan menyatakan tindakan itu melanggar prinsip ketelusan yang diamalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Selain itu, Taufiq turut membantah Akuan Bersumpah (SD) yang dibuat Akmal pada 23 April lalu, yang didakwa menyokong jumlah undi tersebut.
Menurutnya, SD itu memberi gambaran bahawa undi telah direkod dan disimpan, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kerahsiaan undian.
“Ini bukan sahaja boleh menjejaskan kepercayaan ahli terhadap proses pemilihan, malah membuka ruang kepada implikasi undang-undang serta serangan politik daripada pihak lawan,” tambah Taufiq.
Beliau turut melampirkan gambar yang didakwa menunjukkan senarai ‘cai’ yang digunakan oleh pihak Akmal untuk mempengaruhi pengundi semasa proses undian.
Taufiq berkata, satu tindakan tegas perlu diambil segera oleh JPP untuk memastikan keadilan dan ketelusan dalam pemilihan parti.