SUASANA semakin mendebarkan apabila hampir 30,000 penyokong setia Johor Darul Takzim (JDT) membanjiri perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur, seawal pukul 4 petang tadi untuk memberikan sokongan padu menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.
Tidak ketinggalan, kira-kira 1,000 peminat skuad Pahang FC (SPFC) turut hadir memeriahkan perlawanan sengit ini.
Walaupun hujan lebat melanda kawasan stadium pada sebelah petang, semangat para penyokong kedua-dua kelab bola sepak tetap membara.
Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak JDT (KPBJDT), Mohd Fadzli Sapie berkata, pihaknya bersama kelab penyokong lain, termasuk Boys Of Straits (BOS) telah menyediakan hampir 100 bas untuk membawa peminat JDT dari Segamat, Pontian, Kulai dan Ayer Hitam.
Sementara itu, peminat Skuad Pahang turut hadir dari pelbagai daerah seperti Temerloh, Bentong dan Raub bagi membuktikan sokongan tidak berbelah bahagi mereka terhadap pasukan kesayangan.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, memaklumkan bahawa persiapan dari aspek keselamatan dan kemudahan telah dilengkapkan bagi memastikan kelancaran perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/2025 antara JDT dan Sri Pahang FC di SNBJ malam ini.
“Kemudahan di Stadium Nasional Bukit Jalil memang sudah bersedia.
“Kita juga dapat kerjasama daripada polis dan saya yakin dengan peminat-peminat bola sepak Johor dan Pahang bahawa semua akan berjalan dengan lancar malam ini,” katanya.
Malam ini bakal menjadi penentu sebenar pemenang yang akan menjulang trofi ‘Final Unifi Piala Malaysia’ dalam pertembungan epik antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Skuad Pahang FC.