PM ucap penghargaan buat warga TLDM, jasa dan pengorbanan terhadap keselamatan perairan negara

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atas jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai dalam memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, bersempena dengan sambutan ulang tahun TLDM ke-91, Anwar menekankan komitmen pasukan laut negara yang luar biasa.

“Selama lebih sembilan dekad, TLDM telah menunjukkan komitmen, disiplin dan profesionalisme yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan maritim Malaysia,” kata Anwar.

Beliau turut memuji semangat juang anggota TLDM yang menjadi benteng utama dalam memastikan negara terus aman dan makmur.

“Saya mendoakan agar TLDM terus maju, diperkasa dengan teknologi dan kepakaran semasa serta terus menjadi angkatan laut yang disegani di rantau ini,” tambahnya.

Terdahulu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Dr Zulhelmy Ithnain, memaklumkan bahawa sambutan Hari TLDM ke-91 akan diadakan secara sederhana di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada hari esok (Ahad).

Keputusan itu diambil bagi menghormati tragedi tahun lalu yang melibatkan pertembungan dua helikopter milik TLDM semasa raptai persembahan sehingga mengorbankan 10 warga TLDM.

Tema sambutan Hari TLDM ke-91 tahun ini kekal seperti tahun sebelumnya iaitu ‘TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara’.

Anda Mungkin Berminat