Hari TLDM ke-91: Agong Zahir Tahniah, Doa Kekal Cemerlang Di Pentas Dunia

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini menzahirkan ucapan tahniah sempena sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-91.

Seri Paduka Baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merakamkan setinggi penghargaan di atas jasa, bakti dan pergorbanan dicurahkan seluruh warga dan veteran TLDM dalam melindungi kedaulatan serta keselamatan negara.

Seri Paduka Baginda turut tidak melupakan jasa para pesara dan anggota yang telah berkhidmat dalam pasukan itu, termasuk mendoakan kesejahteraan roh mereka yang telah pergi menghadap Ilahi.

“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Sempena sambutan yang bertemakan ‘TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara’, Seri Paduka Baginda turut menitipkan doa agar TLDM terus menjadi sebuah angkatan yang disegani di pentas antarabangsa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat