Pemandu Sengaja Langgar Penunggang Motosikal Miliki Empat Rekod Jenayah Lampau

KLANG: Seorang pemandu kereta yang tular disyaki sengaja melanggar penunggang motosikal selepas terbabit pertengkaran di Taman Sentosa, Klang semalam, memiliki empat rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya telah menahan lelaki berusia 37 tahun itu selepas laporan diterima daripada orang awam berhubung kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam itu.

“Sekitar jam 1.15 pagi tadi, suspek ditahan dan semakan mendapati dia mempunyai empat rekod jenayah lampau.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan bunuh.

“Suspek kini direman empat hari sehingga 30 April ini dan pegawai penyiasat dalam proses melengkapkan siasatan sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas kejadian itu, Ramli berkata, siasatan mendapati mangsa, 50, yang menunggang motosikal mengelak beberapa permukaan jalan tidak rata, namun suspek beranggapan mangsa menunggang secara tidak berhemah serta boleh mengakibatkan kemalangan dan membunyikan hon untuk menegur mangsa.

Bagaimanapun, katanya, mangsa yang tidak puas hati kemudian mengejar kereta suspek dan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Semasa pertengkaran, mangsa menghentak cermin hadapan kereta suspek menggunakan topi keledar sehingga retak yang mana suspek kemudian terus melanggar sehingga mangsa terseret bawah kereta.

“Selepas suspek beredar, mangsa kemudian ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk pemeriksaan dan disahkan mengalami kecederaan luka pada dua kaki, bahu serta sendi bahu kiri terkehel.

“Mangsa kini masih menerima rawatan dan dalam keadaan stabil,” tambahnya.

Terdahulu, satu rakaman tular di media sosial memaparkan seorang lelaki dilanggar sebuah kereta.

Selepas dilanggar, lelaki berkenaan dilihat bangun dan beredar ke bahu jalan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat