Bekas suami ‘Kim Seri’ ditahan, terlibat 8 kes penipuan pelancongan di Korea Selatan

Oleh: Tyah Helmi

JOHOR BAHRU: Bekas suami kepada pempengaruh ‘Kim Seri’ telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Isnin lalu kerana terlibat dengan kes penipuan pakej pelancongan luar negara khususnya di Korea Selatan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Johor Datuk M Kumar yang berkata, suspek berumur 41 tahun yang merupakan pemilik akaun kepada Syarikat Cikgu Kimchi Trading dikatakan telah menerima pembayaran dari mangsa yang terpedaya dengan tawaran untuk melancong ke Korea Selatan.

“Kini suspek masih lagi berada di dalam tahan Polis Johor untuk siasatan lanjut.

“Semakan mendapati terdapat lapan kertas siasatan telah dibuka terhadap akaun terlibat di Daerah Johor Bahru, Selatan, Kota Tinggi, Seri Alam, Iskandar Puteri, Muar dan Kluang,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Jelas M Kumar, kertas siasatan terhadap suspek itu akan dibawa ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk proses selanjutnya.

Kes berkenaan juga disiasat di bawah kesalahan tipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan Hukuman Penjara selama tempoh tidak kurang 1 tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Selain pasukan kontinjen Johor, siasatan turut mendapati suspek terlibat dengan modus operandi kes yang sama di lain-lain kontinjen malah siasatan terhadap kes masih diteruskan.

Sebelum ini, media sosial dihangatkan dengan sebuah hantaran yang didakwa dilakukan oleh kakak suspek iaitu bekas ipar kepada pempengaruh ‘Kim Seri’ yang mendedahkan bahawa suspek kini menanggung akibat atas jenayah yang dilakukan pempengaruh itu semasa mereka masih bergelar suami isteri.

Secara tidak langsung, wanita yang bernama Azlina itu menunjukkan sisi gelap Kim Seri yang dilihat lari dan hidup bebas di Korea selepas membiarkan bekas lelakinya itu meringkuk di tahanan penjara.

Dalam hantaran itu, memaparkan tangkap layar perbualan di aplikasi Instagram antara Azlina bersama Kim Seri yang turut meminta pempengaruh itu untuk tampil mengaku kesalahan dan bertanggungjawab atas jenayah yang dikaitkan dengan dirinya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat