SUBANG JAYA: Seorang pekerja warga asing maut selepas terjatuh ketika menjalankan kerja pembaikan bumbung di sebuah tapak kerja pembaikan bangunan di Subang Jaya, Selangor, pada 25 April lalu.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor memaklumkan, maklumat berhubung insiden yang berlaku pada jam 10.00 pagi itu diterima pihaknya melalui laporan polis.
Susulan itu, JKKP Selangor telah mengarahkan satu pasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan di lokasi kejadian pada 27 April lalu.
“Siasatan awal mendapati mangsa sedang berada di atas bumbung sebelum terjatuh dari ketinggian kira-kira 3.5 meter dari aras lantai.
“Mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada awal pagi 26 April,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Berikutan insiden itersebut, JKKP Selangor akan memanggil saksi-saksi untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan serta pihak yang bertanggungjawab.
Katanya, siasatan dikendalikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM500,000 terhadap majikan sekiranya disabitkan kesalahan.
Pihak JKKP Selangor menegaskan bahawa tindakan perundangan boleh diambil jika berlaku pelanggaran peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Baca juga: