KLANG: Seorang pekerja warga asing yang baru sahaja memulakan tugas telah maut dalam satu kemalangan tragis di sebuah kilang di Pelabuhan Klang, Selangor, semalam.
Mangsa dikatakan tersepit dalam mesin ‘blow moulding’ semasa menjalankan kerja pembersihan seawal pukul 7.35 pagi.
Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, kejadian berlaku apabila mangsa cuba mengeluarkan botol plastik yang tersangkut di bahagian dalam mesin tersebut.
“Ketika pintu mesin dibuka, komponen mesin tersebut mula bergerak dan menghimpit kepalanya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” kata kenyataan JKKP yang dikeluarkan pada Rabu.
Pihak JKKP telah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Selain itu, katanya, Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu dikeluarkan bagi memastikan kawasan tersebut tidak diganggu sehingga siasatan selesai.
Tambahan pula, dua notis larangan telah diberikan kepada majikan kilang atas kegagalan menyediakan prosedur kerja selamat terutamanya untuk kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan mesin.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca-punca dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” jelas JKKP Selangor lagi.