PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini melancarkan Kit Perkhidmatan Awam, satu inisiatif baharu yang bertujuan memperkukuh kefahaman pegawai awam terhadap sistem pentadbiran negara selaras dengan nilai MADANI dan prinsip H.E.M.A.T. yang terkandung dalam kerangka Hijrah Tata Kelola.
Pelancaran ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, dalam sebuah majlis yang berlangsung di Putrajaya.
Menurut beliau, kit ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JPA dalam menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam bagi melahirkan penjawat awam yang berketerampilan, berwibawa dan kompetitif dalam mendukung pentadbiran negara yang progresif dan berintegriti.
“Pelancaran Kit Perkhidmatan Awam ini mencerminkan komitmen JPA untuk memastikan penjawat awam benar-benar memahami ekosistem pentadbiran kerajaan MADANI dari hari pertama pelantikan sehinggalah ke fasa persaraan,” ujar beliau.
Kit ini disusun khusus sebagai panduan menyeluruh buat pegawai lantikan baharu dan turut merangkumi maklumat penting seperti struktur organisasi, budaya kerja, tugas dan tanggungjawab, hak serta faedah perkhidmatan termasuk prosedur pentadbiran seperti permohonan cuti, tuntutan dan penilaian prestasi.
Selain membantu penyesuaian awal, Kit Perkhidmatan Awam juga dilihat sebagai landasan penting dalam pembentukan modal insan sektor awam yang berjiwa besar, berilmu, berkemahiran tinggi dan berintegriti tinggi.
Sejajar dengan aspirasi digitalisasi perkhidmatan, kit ini kini boleh diakses secara rasmi melalui Portal Rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam di pautan berikut https://docs.jpa.gov.my/docs/flipbook/KIT-PERKHIDMATAN-AWAM/4/
Pelancaran ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha negara memperkukuh sistem tadbir urus awam yang telus, efisien dan inklusif, sejajar dengan visi Malaysia MADANI.