Tindakan ADUN Bersatu ‘Lekeh’ Lagu Negaraku Cemar Maruah

PETALING JAYA: Kontroversi tercetus apabila tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof, yang didakwa tidak berdiri semasa lagu kebangsaan Negaraku dinyanyikan, menerima kritikan keras.

Kelakuannya disifatkan sebagai mencemarkan maruah negara selain mengecewakan rakyat.

Menurut Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Masjid Tanah, Datuk Abd Halim Bachik, seorang wakil rakyat (ADUN) sepatutnya menjadi contoh teladan dengan menghormati simbol kebangsaan.

Katanya, tindakan memperlekehkan amalan menyanyikan lagu Negaraku dan lagu negeri Melaka Maju Jaya jelas bertentangan dengan tanggungjawab pemimpin.

“Pemimpin dipilih untuk menjaga maruah negara, memupuk rasa bangga menjadi rakyat Malaysia dan memperkuat perpaduan.

“Bila ada pemimpin meremehkan lambang kebangsaan, itu bukan lagi sekadar ‘pendapat peribadi’, sebaliknya menyentuh jati diri nasional,” katanya kepada Malaysia Bangkit ketika dihubungi.

Tambah Abd Halim, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ibrahim Durum turut menjelaskan bahawa amalan menyanyikan lagu kebangsaan adalah rutin mingguan dalam kalangan penjawat awam di Melaka.

Oleh itu, katanya, ia tidak sepatutnya dianggap sebagai sesuatu yang tidak biasa (unsual) atau dipersoalkan.

“Kelakuan menghina lagu kebangsaan menunjukkan tiada sikap hormat terhadap negara dan secara tidak langsung menjatuhkan kredibiliti seorang pemimpin di mata rakyat,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Abd Halim menyeru rakyat agar mempertimbang semula sokongan terhadap pemimpin yang tidak menghormati institusi negara.

Katanya, hanya individu yang benar-benar layak dan memahami kepentingan lambang negara wajar diberikan kepercayaan untuk memimpin.

Baru-baru ini, tular rakaman video sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang memaparkan wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mempertikaikan keperluan menyanyikan lagu Negaraku dan lagu negeri Melaka Maju Jaya sebelum sesi persidangan.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan ramai pihak yang menganggapnya sebagai penghinaan terhadap simbol kedaulatan negara.

Dalam kenyataannya, Dr Mohd Aleef menyifatkan amalan tersebut sebagai sesuatu yang ‘tidak biasa’ sehingga mencetuskan pelbagai reaksi kecaman.

Anda Mungkin Berminat