Oleh:Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Penganalisis, Dr Azmi Hassan menyifatkan langkah kerajaan Malaysia tidak cenderung untuk bertindak balas secara agresif terhadap tarif yang dikenakan kerajaan Amerika Syarikat(AS).
Menurutnya langkah ini tepat memandangkan saiz ekonomi Malaysia kecil berbanding skuasa besar lain seperti China, Mexico atau Kanada yang mempunyai struktur ekonomi yang besar.
“Kita tidak mahu berseteru. Sebab itu kita hantar wakil untuk berunding dengan AS.
“Sama ada rundingan itu berjaya atau tidak, itu soal lain, tapi Malaysia tidak akan mengenakan tarif balas,”katanya yang juga Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).
Mengulas lanjut, Dr Azmi berkata pendekatan diplomatik yang diambil Malaysia dapat dilihat menerusi lawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Washington baru-baru ini.
“Kita juga tidak mahu kelihatan seperti berpihak kepada China walaupun mereka adalah rakan dagang terbesar.
“Sebaliknya, kita sedang cuba membuka lebih banyak ruang dagangan lain kerana terlalu bergantung kepada satu pasaran sangat berisiko,” katanya.
Menurut beliau, dalam konflik perdagangan AS-China yang semakin meruncing, Malaysia kini berada dalam kedudukan diplomatik yang serba mencabar kerana ditekan oleh kedua-dua pihak.
“China beri amaran agar perjanjian dagangan dengan AS tidak beri kesan negatif kepada mereka.
“Dalam masa sama, AS juga menggunakan tekanan dan peras ugut agar Malaysia tidak terlalu banyak berdagang dengan China.
“Kita tersepit di tengah-tengah. Kedua-dua kuasa besar ini menggunakan pendekatan keras yang menyukarkan Malaysia untuk mengekalkan hubungan baik dengan kedua-duanya,” katanya.
Dr Azmi berkata, tindakan AS menaikkan tarif sehingga 24 peratus akan menjadikan produk Malaysia jauh lebih mahal di pasaran negara itu.
“Ini akan memberi kesan kepada keakraban diplomatik antara Kuala Lumpur dan Washington.
“Malaysia kini dalam usaha membuka pasaran baharu kerana tidak lagi melihat AS sebagai rakan dagang yang boleh diharap.
“Amerika Syarikat mengenakan kadar tarif yang sama rata tanpa mengambil kira sama ada sesebuah negara itu musuh atau rakan dan ini secara langsung mengeruhkan lagi hubungan diplomatik,” katanya ketika bercakap kepada Malaysia Bangkit.
Malaysia sebelum ini giat menjalinkan kerjasama perdagangan dengan pelbagai negara termasuk rantau ASEAN dalam usaha mempelbagaikan pasaran dan mengurangkan kebergantungan kepada AS.