PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Kerajaan Perpaduan agar tidak bersikap terlalu selesa susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kemenangan tersebut perlu dijadikan sebagai pemangkin untuk menggandakan usaha membantu rakyat, bukan sekadar diraikan tanpa tindakan susulan.
“Mesyuarat Kabinet pagi ini dimulakan dengan ucapan tahniah oleh Perdana Menteri atas kemenangan BN dalam PRK Ayer Kuning.
“Tetapi beliau juga mengingatkan supaya jangan terlalu selesa atau leka dengan keputusan ini.
“Sebaliknya, semua pihak perlu bekerja lebih keras untuk selesaikan masalah rakyat,” kata Fahmi dalam sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi.
Tambah beliau, walaupun kadar keluar mengundi rendah, keputusan PRK itu memberi petanda positif, khususnya dalam kalangan pengundi muda dan Melayu.
“Daripada 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM), 19 dimenangi oleh BN, manakala hanya satu oleh Perikatan Nasional (PN) dan itu pun dengan majoriti yang lebih kecil,” katanya.
Dalam PRK Sabtu lalu, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir mencatat kemenangan besar dengan majoriti 5,006 undi selepas memperoleh 11,065 undi, mengatasi calon PN Abdul Muhaimin Malek (6,059 undi) dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS (1,106 undi).
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.