PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mencadangkan agar kerajaan menyusun semula peruntukan subsidi telur yang selama ini menelan belanja besar dan menyalurkannya kepada usaha memodenkan industri penternakan negara.
Menurut Sim, sejak subsidi telur diperkenalkan pada 2022, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM2.5 bilion atau hampir RM100 juta sebulan, satu angka yang dianggap sangat tinggi dan memerlukan pendekatan yang lebih berimpak.
“Peruntukan ini wajar disasarkan semula kepada industri penternakan telur dan ayam, khususnya untuk menaik taraf sistem reban kepada closed house lengkap dengan ciri biosekuriti moden,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian menegaskan, majoriti penternak masih menggunakan sistem open house atau semi closed house yang terdedah kepada ancaman penyakit seperti selsema burung, di samping menyumbang kepada pencemaran alam sekitar dan gangguan serangga di kawasan sekitar.

“Justeru, transformasi teknologi penternakan ke arah sistem yang lebih moden dan mampan amat diperlukan,” tambahnya.
Sim juga menyokong langkah kerajaan menyusun semula subsidi telur, termasuk pengurangan daripada 10 sen kepada 5 sen bermula 1 Mei dan penamatan sepenuhnya mulai 1 Ogos.
Katanya, langkah itu dilakukan pada masa yang sesuai memandangkan bekalan dan harga telur telah kembali stabil sejak krisis harga pada 2022.
Dalam masa sama, beliau menolak dakwaan pembangkang bahawa langkah tersebut akan membebankan pengguna, menyifatkannya sebagai tidak berasas dan bersifat populis.
“Ini merupakan taktik lapuk yang sering dimainkan. Realitinya, mereka tidak memahami asas ekonomi mahupun selok-belok industri penternakan serta keperluan sekuriti makanan negara dalam jangka panjang,” katanya lagi.
Beliau menggesa kerajaan menyalurkan semula perbelanjaan subsidi ke arah pembangunan industri yang lebih efisien, moden dan berdaya saing, yang bukan sahaja menjamin bekalan makanan negara, malah memberi manfaat langsung kepada pendapatan penternak.
Baca juga: