PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak agar menangguhkan sebarang kenyataan atau tindakan berkaitan isu antara PETRONAS dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) bagi menjaga kepentingan bersama.
Gesaan itu dibuat susulan perbincangan awal beliau bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam mengenai isu berkenaan berdasarkan prinsip yang telah dipersetujui sebelum ini.
“Atas dasar kepentingan bersama, semua pihak harus menangguhkan sebarang tindakan atau mengeluarkan sebarang kenyataan,” kata Anwar dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.
Menurut beliau, perbincangan lanjut untuk memuktamadkan urusan antara PETRONAS dan Petros akan diadakan sejurus Abang Johari kembali daripada lawatan rasmi ke London, United Kingdom.
Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa isu ini mampu diselesaikan secara berhemah jika semua pihak kekal komited kepada wacana yang sihat dan bermakna.
Pertikaian berhubung isu itu semakin memuncak apabila PETRONAS semalam mengakui menerima notis undang-undang daripada kerajaan Sarawak memaklumkan anak syarikatnya, PETRONAS Carigali, beroperasi secara haram di Sarawak dan melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016.
PETRONAS Carigali diberi tempoh 21 hari untuk mendapatkan lesen yang diperlukan yang mana jika gagal yang boleh membawa kepada penalti kewangan di bawah Seksyen 21A ordinan itu.
Isnin lalu, PETRONAS gagal mendapatkan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuching untuk menghentikan saman yang difailkan syarikat petroleum Sarawak, PETROS untuk menghalang mahkamah daripada mendengar saman berkenaan pembayaran gas.