PETALING JAYA: Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penangguhan lawatan rasmi beliau ke Malaysia yang dijadualkan pada Jumaat ini.
Menurut hantaran di Facebook Anwar, keputusan itu diambil berikutan ketegangan yang timbul susulan insiden serangan di Kashmir baru-baru ini.
Anwar berkata, beliau memahami terhadap situasi yang sedang dihadapi Pakistan serta berharap agar keadaan segera reda dan tidak berlarutan.
Beliau turut mengecam sebarang bentuk keganasan serta menyokong penuh cadangan untuk siasatan bebas dan telus bagi mengenal pasti dalang sebenar serangan tersebut.
“Saya memahami situasi rumit yang sedang dihadapi Pakistan dan mendoakan agar keadaan segera reda serta tidak terus meruncing.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan untuk siasatan bebas dan telus bagi mengenal pasti dalang sebenar serangan itu,” katanya.
Dalam perbualan telefon bersama PM Shehbaz, Anwar turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk memainkan peranan dalam usaha meredakan ketegangan, sekiranya diperlukan.
Menurutnya, hubungan baik Malaysia dengan Pakistan dan India adalah aset penting yang boleh dimanfaatkan demi keamanan dan kestabilan serantau.
PM Shehbaz turut menyatakan penghargaan terhadap hubungan erat antara kedua-dua negara serta mengutarakan hasrat untuk mempercepatkan pemeteraian memorandum persefahaman yang sedang dirunding.
Anwar menegaskan komitmennya untuk menyegerakan urusan tersebut.
“Insya-Allah, apabila keadaan mengizinkan, kita akan menyambut PM Shehbaz di Malaysia dalam suasana aman dan tenteram,” katanya.