PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif penting bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas susulan pengumuman tarif import timbal balas oleh kerajaan Amerika Syarikat terhadap Malaysia.
Dalam satu Sesi Khas Parlimen yang diadakan hari ini, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan komited untuk memastikan PKS kekal berdaya saing dan mampu bertahan dalam menghadapi tekanan global.
Sebagai langkah segera, Kerajaan akan meningkatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi memudahkan akses pinjaman bank kepada pengeksport PKS yang terkesan.
Selain itu, Dana Pembiayaan Mudah berjumlah RM500 juta turut disediakan melalui Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) bagi menyokong usahawan PKS agar dapat terus mengembangkan perniagaan mereka di tengah-tengah cabaran ekonomi global.
“Kerajaan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia menyediakan bantuan bersasar khusus untuk PKS yang terjejas secara langsung,” kata Perdana Menteri.
Beliau turut menekankan bahawa PKS memainkan peranan penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara dan sokongan menyeluruh diperlukan untuk memastikan mereka dapat terus menyumbang secara efektif walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI melalui Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) dalam memastikan kestabilan ekonomi negara dan daya tahan sektor perdagangan dalam mendepani ketidaktentuan dasar Amerika Syarikat.