Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa tidak ada ruang untuk pembuli, terutama terhadap golongan orang kurang upaya (OKU).
Beliau meluahkan kekecewaan terhadap kejadian buli yang berlaku di GiatMARA Durian Tunggal, Melaka yang melibatkan seorang pelajar berstatus OKU.
“Tiada tempat untuk pembuli, kamu sentuh, kamu pergi.
“…. tindakan sebegini tidak boleh diterima sama sekali, walau dalam bentuk gurauan.
“Apa juga bentuk lawak mahupun gurauan, tidak boleh dipandang enteng. Ini satu bentuk pembulian, walaupun bukan dalam bentuk fizikal, tetapi ia melibatkan mental, apatah lagi apabila membabitkan seorang OKU,” katanya menerusi satu video di media sosial miliknya.
Asyraf berkata pihaknya, telah menggesa pengurusan institusi terlibat untuk melakukan siasatan menyeluruh dengan jaminan tindakan tegas akan diambil.
Katanya, kesemua individu yang terlibat termasuk mangsa akan dipanggil untuk pertemuan bersama pihak pengurusan.
“Siasatan awal mendapati kejadian itu merupakan gurauan kasar sesama pelatih semasa latihan di GiatMARA Alor Gajah sebelum mereka menjalani Latihan Industri dalam bidang Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam,” katanya.
Asyraf Wajdi menegaskan bahawa MARA tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk tindakan buli, baik secara fizikal mahupun mental.
“Saya memberi jaminan tindakan tegas akan diambil sekiranya perbuatan itu benar-benar berlaku.
“Yang paling mustahak, saya ingin nyatakan sekali lagi, tidak ada tempat untuk sebarang bentuk buli dan pembuli di mana-mana institusi pendidikan MARA.
“Sama ada GiatMARA Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Institut Kemahiran MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Kolej MARA, Kolej Profesional MARA, Kolej Politeknik MARA, German-Malaysian Institute (GMI), Malaysia France Institute (MFI), Universiti Poly-Tech MARA (UPTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL),” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka,Datuk Rahmad Mariman berkata, kes buli yang tular itu sebenarnya berlaku pada Februari lalu dan telah diselesaikan.
Beliau berkata, semua pelajar yang terlibat telah dipanggil oleh MARA untuk memberi keterangan dan telah meminta maaf sebelum meneruskan kursus kemahiran serta latihan loji mereka.
“Berdasarkan siasatan saya, kes ini telah lama berlaku sekitar Februari lalu.
“Pelajar yang terlibat sudah dipanggil, keterangan diambil dan mereka telah meminta maaf,” katanya.