Cuepacs Sokong Ketelusan Harga Ubat Demi Kebajikan Rakyat

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik usaha kerajaan dalam menetapkan ketelusan harga ubat di premis kesihatan swasta.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, ianya adalah hasil usaha perbincangan menyeluruh antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pelbagai pihak berkepentingan selama lebih setahun.

Beliau berkata, dasar itu bukan sekadar kawalan harga tetapi langkah memperkasa hak pengguna, memastikan rakyat mendapat maklumat yang telus serta merangsang persaingan sihat dalam sektor kesihatan swasta.

“Pendekatan ini membuktikan kerajaan benar-benar serius mendengar pandangan semua pihak sebelum melaksanakan sesuatu dasar.

“Cuepacs juga menyokong syor pelbagai persatuan pengguna yang sekian lama memperjuangkan hak rakyat untuk mengetahui harga sebenar ubat agar mereka boleh membuat pilihan berdasarkan kemampuan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga menghargai keputusan kerajaan memberi tempoh persediaan selama tiga bulan kepada penyedia perkhidmatan kesihatan sebelum dasar itu dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Langkah ini mencerminkan kesungguhan kerajaan mewujudkan kerjasama dan penyesuaian secara adil sebelum pelaksanaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menegaskan bahawa perhimpunan simbolik di Putrajaya esok (Selasa) bukan membantah ketelusan harga ubat tetapi mempertikai kesesuaian pelaksanaan dasar melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), yang dianggap kurang sesuai untuk profesion perubatan.

Anda Mungkin Berminat