PUTRAJAYA: Datuk Mohd Shahar Abdullah dilantik semula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) bagi tempoh tiga tahun hingga 25 April 2028, sekali gus meneruskan tanggungjawab penting dalam memperkukuh tadbir urus dan integriti negara.
Pelantikan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menyampaikan surat cara pelantikan kepada tiga ahli baharu JKMR dalam satu majlis di Parlimen, hari ini.
Ia disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Tiga individu baharu yang dilantik ialah Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz; Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan dan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.
Menurut Anwar, pelantikan itu merupakan satu lagi langkah penting kerajaan dalam memastikan institusi yang memantau integriti negara berfungsi dengan lebih berkesan dan bebas.
“Kita mahu memastikan segala usaha membanteras rasuah disokong oleh sistem semak dan imbang yang kukuh.
“Pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan memperkukuh integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam pentadbiran, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI,” katanya.
Secara keseluruhan, JKMR kini dianggotai tujuh individu termasuk empat ahli sedia ada iaitu Mohd Shahar sendiri selaku Ahli Parlimen Paya Besar; Mohd Shafizan Kepli (Batang Lupar); Young Syefura Othman (Bentong) dan Lo Su Fui (Tawau) yang kekal dalam tempoh lantikan dari 15 September 2023 hingga 14 September 2026.
JKMR ditugaskan menasihati Perdana Menteri berhubung pelbagai isu berkaitan rasuah, menyemak Laporan Tahunan SPRM serta meneliti ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) terhadap pelaksanaan fungsi suruhanjaya itu mengikut Akta SPRM 2009.
Anwar turut menzahirkan keyakinan bahawa pelantikan semula dan kemasukan ahli baharu akan memperkukuh usaha memerangi rasuah secara menyeluruh.
“JKMR akan terus menjadi salah satu mekanisme utama untuk memastikan SPRM melaksanakan fungsinya secara bebas dan berkesan dengan keutamaan terhadap kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.