Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan bahawa politik berasaskan perkauman tidak wajar wujud mahupun bertapak di Sabah kerana negeri itu telah lama berasimilasi sekali gus menjadi contoh keharmonian kaum dan agama di Malaysia.
Dalam kenyataan beliau di Facebooknya hari ini, Salleh mempersoalkan mengapa isu-isu perkauman masih timbul di Semenanjung Malaysia walaupun negara sudah lebih enam dekad mencapai kemerdekaan.
“Di Sabah, masyarakat pelbagai kaum seperti Kadazan, Dusun, Rungus, Bajau, Suluk, Irranun, Murut, Cina, Bugis dan lain-lain hidup dalam keadaan harmoni. Mereka membesar bersama, bersekolah bersama serta menyambut pelbagai perayaan tanpa halangan,” katanya.
Tambah beliau, amalan agama juga diamalkan dengan penuh rasa hormat dan saling memahami.

“Sokongan antara agama jelas kelihatan semasa sambutan keagamaan dan kebudayaan, menjadikan keharmonian antara agama sebagai sebahagian daripada rutin harian masyarakat, ujar beliau.
Dari sudut politik, Salleh berkata perbezaan pandangan dan sokongan kepada parti politik tertentu jarang menjadi punca perpecahan dalam kalangan rakyat negeri itu.
“Perbezaan ideologi politik bukan alasan untuk memutuskan persahabatan atau hubungan kejiranan.
“Politik di Sabah lebih tertumpu kepada isu pembangunan seperti peluang pekerjaan, kemudahan jalan raya, pendidikan serta bekalan air bersih,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa pemimpin di Sabah majoriti daripada mereka mempunyai pelbagai latar belakang dan sentiasa berkhidmat buat semua kaum tanpa diskriminasi.
“Tidak perlu kita mengulas panjang tentang apa yang berlaku di tempat lain, tetapi satu perkara yang jelas isu perkauman tidak boleh dibiarkan bertapak di Sabah,” ujarnya.
Salleh turut menyeru agar keharmonian dan perpaduan yang telah lama wujud di negeri itu dapat dipertahankan sebagai aset berharga yang tidak ternilai.
“Kita harus terus hidup dalam semangat saling menghormati tanpa mengira kaum, agama atau pegangan politik,” tambah beliau.
Baca juga: