Malaysia, Jepun Perkukuh Kerjasama Peralihan Tenaga

PUTRAJAYA: Malaysia dan Jepun komited memperkukuh kerjasama strategik dalam peralihan tenaga dan kelestarian, berikutan kunjungan hormat mantan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia menegaskan peranannya dalam menerajui usaha serantau ke arah masa depan rendah karbon.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar berkata, negara ini turut menyambut baik sokongan teknikal serta penyelidikan canggih Jepun menerusi inisiatif Asia Zero Emission Community (AZEC).

“Malaysia menyambut baik dukungan teknikal dan penyelidikan canggih daripada Jepun, khususnya melalui inisiatif AZEC bagi mempercepat pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) secara menyeluruh,” katanya.

Menurutnya, Jepun yang berpengalaman luas dalam teknologi tenaga boleh baharu, bioenergi serta teknologi pemerangkapan karbon (Carbon Capture, Utilization and Storage – CCUS), dilihat sebagai rakan strategik utama dalam memperkasa Malaysia sebagai hab inovasi tenaga mampan di rantau ini.

“Jepun muncul sebagai rakan strategik yang mampu melonjak usaha Malaysia menjadi hab inovasi tenaga mampan dan lestari di rantau ini,” tambahnya.

Sebagai langkah ke hadapan, Malaysia turut mengusulkan penubuhan pusat kerjasama baharu bagi memperkukuh integrasi teknologi dan kelestarian tenaga di rantau ASEAN.

Anwar optimis bahawa gabungan dasar, industri, dan komuniti penyelidikan Malaysia dan Jepun akan mempercepatkan agenda tenaga bersih serta meningkatkan daya tahan ekonomi serantau demi kelestarian masa depan.

Anda Mungkin Berminat