MELAKA: Lima cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Negeri Melaka secara terbuka menyatakan sokongan penuh terhadap Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden parti bagi sesi 2025–2028.
Dalam kenyataan bersama, para pemimpin cabang menegaskan keperluan PKR untuk memperkukuh barisan kepimpinan dengan pemimpin yang bukan sahaja memahami sejarah perjuangan tetapi juga mampu membawa agenda reformasi ke hadapan.
“Sehubungan itu, kami dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran terhadap amanah perjuangan, menyatakan sokongan terbuka dan keyakinan penuh kepada Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden PKR bagi sesi 2025-2028,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, Nurul Izzah, yang telah lama dikenali dalam gerakan reformasi, disebut sebagai pemimpin berprinsip dengan rekod keberanian bersuara serta komitmen tinggi dalam memperjuangkan keadilan sosial dan hak asasi manusia.
Tambahnya, pengalaman beliau sebagai bekas Naib Presiden parti, Ahli Parlimen dua penggal serta penglibatan aktifnya dalam masyarakat turut menjadi faktor utama di sebalik pencalonan ini.
“… baru-baru ini (Izzah) disenaraikan antara 30 individu berpengaruh dalam ‘Project Syndicate Forward Thinkers List’ tentunya memberi kekuatan dan kredibiliti untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan parti,” tambahnya.
Menurut pemimpin Cabang PKR Melaka, pencalonan Nurul Izzah bukan sekadar soal personaliti atau warisan politik tetapi tentang kepimpinan masa depan parti sebagai sebuah gerakan progresif yang terus diyakini rakyat.
“Kami yakin Nurul Izzah mempunyai segala ciri kepimpinan yang diperlukan untuk memperkukuh PKR, menyuntik semangat baharu dalam perjuangan reformasi, serta memperkuat hubungan dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan,” ujar mereka.
Pada perkembangan sama, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, beliau akan terus membuat “pertimbangan terbaik” dengan tawakal dan istikharah sebelum memutuskan untuk bertanding atau tidak.
Beliau juga berkata telah berbincang dengan pelbagai pihak dalam PKR termasuk bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Rafizi Ramli dan akan membuat keputusan muktamad berhubung percaturannya dalam parti.