Malaysia-Bahrain Perkukuh Hubungan Ekonomi, Buka Ruang Pelaburan Baharu

PETALING JAYA: Dalam satu pertemuan pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan delegasi Menteri Kerajaan Bahrain yang diketuai Menteri Pembangunan Mampan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain, TYT Noor Ali Sultan Hasan Alkhulaif, serta Duta Bahrain ke Malaysia, TYT Dr Waleed Khalifa Yusuf Almanea.

Menerusi satu kenyataan, Anwar berkata, Malaysia menzahirkan komitmen kukuh untuk memperluas kerjasama ekonomi dengan Bahrain dan tidak hanya sebagai rakan dagang tetapi juga sebagai rakan strategik dalam mencipta pertumbuhan yang mampan dan inovatif.

Beliau berkata, hubungan ekonomi antara kedua-dua negara telah lama terbina di atas asas yang kukuh dengan potensi besar untuk berkembang dalam sektor utama seperti petroleum, produk berasaskan aluminium, makanan halal, komponen elektronik, dan teknologi hijau.

“Malaysia turut melihat peluang besar dalam pelaburan strategik meliputi tenaga boleh baharu, pembuatan petrokimia, penjagaan kesihatan serta pembangunan hartanah.

“Di sebalik cabaran dalam prestasi dagangan semasa, pelbagai inisiatif seperti kerjasama dalam kewangan Islam, pembangunan industri halal, serta transformasi digital melalui platform MyDigital dan dasar Cloud First Bahrain diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan berkualiti tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Malaysia menyambut baik idea untuk menubuhkan hab perkhidmatan global dan taman perindustrian pintar serta melihat keperluan untuk rangka kerja penyelidikan dan pembangunan industri bersama Bahrain.

Tambahnya, Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-GCC juga akan diteruskan sebagai strategi memperkukuh integrasi ekonomi serantau.

“Pertemuan ini memperkukuh iltizam bersama untuk membina masa depan yang saling memperkukuh, saling memanfaat demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

“Malaysia akan terus menjadi rakan yang dipercayai dan diyakini, menjunjung prinsip ketelusan selain bergerak sederap dalam menjamin keterangkuman dan kemajuan bersama,” kata Anwar.

Dengan komitmen bersama katanya, Malaysia dan Bahrain bersedia untuk melangkah ke hadapan dalam hubungan ekonomi yang lebih erat dan progresif.

Anda Mungkin Berminat