PM Tinjau Persiapan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, mengadakan tinjauan lokasi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 serta mempengerusikan Mesyuarat Khas Kepengerusian ASEAN-Malaysia.

Dengan hanya beberapa hari berbaki sebelum acara berprestij itu berlangsung, beliau menekankan kepentingan setiap kementerian dan agensi yang terlibat untuk memperkemas gerak kerja bagi memastikan kelancaran persidangan.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, yang dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bakal menghimpunkan pemimpin dari 10 negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu serantau serta memperkukuh kerjasama ekonomi.

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, membawa tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ sebagai asas penyatuan untuk penglibatan serantau dan global.

“Sebagai Pengerusi, kita harus memastikan penganjuran serta setiap perbincangan yang dilakukan dapat memberi hasil yang positif kepada seluruh negara anggota, InsyaAllah,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook.

Persiapan rapi sedang dijalankan termasuk latihan keselamatan dan simulasi bagi memastikan keselamatan pemimpin serta delegasi berada pada tahap optimum.

Malaysia bertekad untuk menjadikan persidangan ini sebagai platform yang bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik tetapi juga membawa manfaat besar kepada rantau ASEAN.

Sidang Kemuncak ini dijangka menarik perhatian dunia dengan kehadiran pemimpin utama serta perwakilan dari pelbagai negara.

Semua pihak kini bersiap siaga untuk memastikan Malaysia memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan ASEAN yang lebih inklusif dan mampan.

Anda Mungkin Berminat