PLKI-ECRL Pacu Infrastruktur Negara, Rangsang Pertumbuhan Wilayah – PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Program Latihan Kemahiran Industri-ECRL (PLKI-ECRL) sebagai satu pencapaian penting yang mampu merangsang pembangunan infrastruktur negara, khususnya di kawasan strategik.

Menurut beliau, setiap stesen utama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menjadi pemangkin pertumbuhan wilayah dan memerlukan kerjasama erat antara pelbagai pihak.

“Setiap stesen ini akan mencetuskan pertumbuhan baharu.

“Maka, kerjasama erat antara syarikat pelaksana, kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan amat penting bagi memastikan kejayaan projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL bagi Fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) yang berlangsung di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyaksikan penyerahan surat tawaran kepada 102 pelatih pertama yang bakal menjalani latihan di Liuzhou, China bermula 15 Mei secara berperingkat.

Difahamkan, kesemua mereka merupakan sebahagian daripada 210 peserta keseluruhan bagi fasa O&M PLKI-ECRL.

Anwar turut merakamkan ucapan tahniah kepada para pelatih terpilih, sambil menyeru mereka untuk membawa imej negara dengan disiplin, ilmu pengetahuan dan akhlak mulia sepanjang latihan.

“Gunakan peluang ini sebaik-baiknya. Tunjukkan bahawa anak Malaysia mampu menjadi contoh kepada rakan-rakan dari China.

“Ini bukan sahaja latihan teknologi moden, tetapi juga satu amanah besar,” katanya.

Dalam menyentuh ekonomi global yang semakin mencabar, beliau menekankan perlunya Malaysia memperkukuh daya tahan ekonomi domestik agar tidak terlalu bergantung kepada pasaran luar.

“Malaysia mesti membina kekuatan dari dalam melalui penguasaan ilmu, teknologi dan inovasi.

“Tanggungjawab ini terletak di bahu anak muda hari ini,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa syarikat antarabangsa terkemuka dari Amerika Syarikat, Jepun dan Bahrain telah menyatakan komitmen untuk melabur dalam sektor strategik negara, termasuk tenaga boleh baharu dan teknologi semikonduktor.

Anda Mungkin Berminat