RM5,000 gaji bermaruah, wajar buat bujang mahu pun keluarga – Pakar

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan gaji di Malaysia yang lebih perlahan daripada peningkatan kos sara hidup jadi punca utama tekanan kewangan yang sering dihadapi oleh golongan pekerja yang berpendapatan kurang daripada jumlah RM5,000.

Penganalisis Ekonomi dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr. Ida Md Yasin berkata kadar gaji ideal dan bermaruah buat kategori bujang mahupun keluarga yang memiliki dua anak sepatutnya berada dalam lingkungan RM5,000 ke atas namun ia bergantung kepada lokasi yang diduduki oleh seseorang itu.

Bagaimanapun, kata Ida Md Yasin, isu pelarasan gaji ideal yang bermaruah itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk diselesaikan kerana ia saling berkait antara satu sama lain.

Beliau menegaskan kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menggesa pemberian gaji minimum tanpa mengambil kira impaknya kepada majikan serta pemilik perniagaan.

“Peningkatan gaji seharusnya selaras dengan peningkatan produktiviti. Ini bermakna pekerja perlu menjadi lebih produktif untuk layak menerima gaji yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysia Bangkit hari ini ketika diminta mengulas adakah perlunya gaji ideal serta bermaruah buat golongan bujang dan individu mempunyai dua anak diletakkan dengan kadar RM5,000 ke atas.

Oleh itu katanya, antara pendekatan yang sedikit sebanyak membantu mengisi kekosongan terhadap penyelesaian masalah gaji bermaruah adalah dengan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti pekerja.

Selain itu, beliau turut menekankan keperluan latihan semula (retraining) kepada pekerja yang kurang mahir agar mereka mampu bersaing dalam pasaran kerja moden.

Katanya lagi, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pekerjaan di Malaysia dikategorikan kepada empat tahap kemahiran iaitu pengurusan (managerial), pekerja mahir (skilled workers), separa mahir (semi-skilled) dan tidak mahir (unskilled), pekerjaan kurang mahir yang sering diisi oleh pekerja asing, sedangkan rakyat tempatan sepatutnya boleh dilatih agar dapat mengisi peranan yang lebih produktif serta bernilai tinggi.

“Latihan dan peningkatan kemahiran rakyat Malaysia penting agar mereka dapat beralih dari kategori tidak mahir kepada separa mahir dan seterusnya.

“Ini memerlukan perancangan dan pelaksanaan jangka panjang yang sistematik,” ujarnya.

Kedua, katanya adalah dari sudut pelaburan, beliau menggesa agar rakyat tempatan diberi peluang untuk menjadi tenaga kerja mahir, sekali gus menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang lebih menarik, sama ada dari pelaburan domestik atau asing (FDI).

Beliau turut menyeru para majikan supaya mengagihkan keuntungan syarikat secara adil, ketika mana syarikat mencipta nilai (value creation), keuntungan tersebut boleh disalurkan semula kepada pekerja dalam bentuk kenaikan gaji atau bonus serta digunakan untuk pelaburan semula atau diberikan semula kepada pelanggan melalui harga produk dan perkhidmatan yang berpatutan.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar syarikat turut menilai semula jurang gaji antara pekerja atasan dan pekerja bawahan.

“Jika kita mahu mengurangkan jurang antara miskin dan kaya, maka perbezaan gaji dalam sesebuah organisasi tidak boleh terlalu ketara.

“Gaji tertinggi dalam syarikat tidak sepatutnya mencecah sehingga 1,000 kali ganda berbanding gaji pekerja terendah,” tegasnya.

Terdahulu media melaporkan, terdapat kenyataan Penganalisis ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Aimi Zulhazmi Abdul Rashid yang mendedahkan secara realitinya bahawa kadar gaji ideal dan bermaruah bagi kategori bujang mahupun keluarga yang memiliki dua anak sepatutnya berada dalam lingkungan RM5,000 ke atas, namun bergantung kepada lokasi sama ada menetap di bandar atau luar bandar.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat