Nurul Izzah Bidas Tohmahan ‘Parti Anak-Beranak’

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjelaskan bahawa label “Parti Anak Beranak” yang sering dilemparkan kepada diri dan keluarganya bukanlah sesuatu yang baru, malah ia telah wujud sejak penubuhan parti pada tahun 1998.

Menurut Nurul Izzah, serangan tersebut hanya bertujuan untuk merendahkan perjuangan yang dibawa oleh parti.

“Ketika saya menang Naib Presiden dengan undian tertinggi pada tahun 2010, 2014 dan 2018, serangan yang sama tetap dilemparkan.

“Pada tahun 2022, saya tidak bertanding, sebaliknya memberi tumpuan kepada gerakan Ayuh Malaysia dan memperkenalkan beberapa dasar, termasuk TVET dan perubahan iklim.

“Namun, jika saya bertanding Naib Presiden pun kali ini, saya tetap akan digelar begitu,” katanya dalam satu kenyataan, selepas mengesahkan pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden PKR pada Jumaat.

Nurul Izzah berkata, beliau akan terus berkhidmat dalam PKR dan beliau percaya bahawa bertanding secara terbuka serta mendapat mandat daripada akar umbi adalah asas demokrasi yang perlu dipertahankan dan bukannya nepotisme.

Nurul Izzah mengimbas semula keputusannya pada 2018 untuk meletakkan jawatan daripada Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) sebagai protes terhadap kegagalan kerajaan dalam memantau perbelanjaan negara.

Katanya, walaupun ditawarkan jawatan sebagai Menteri selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau menolaknya kerana ia merupakan lantikan Perdana Menteri.

“Saya menolak kerana ianya adalah lantikan Perdana Menteri, di dalam kabinet yang turut dianggotai oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri,” katanya lagi.

Dalam kenyataan itu, Nurul Izzah menyatakan, beliau tidak berminat dengan jawatan di dalam kabinet sekiranya memenangi jawatan Timbalan Presiden.

“Saya yakin, mereka yang membaca kenyataan ini dengan penuh rasional dapat membezakan nepotisme iaitu dilantik oleh ahli keluarga untuk sesuatu posisi berbanding pertandingan yang diundi oleh akar umbi,” ujarnya lagi.

Nurul Izzah hari ini mengesahkan beliau akan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dan akan bersaing dengan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat