PUTRAJAYA:Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan segala isu berkaitan antara Petronas dan Petros secara rundingan.
Perkara dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dalam satu pertemuan yang dipengerusikannya di Perdana Putra.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, bersama barisan kepimpinan tertinggi daripada Petronas dan Petros.
Pertemuan berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni yang berteraskan semangat Persekutuan.

Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memuktamadkan prinsip-prinsip asas dalam masa terdekat, bagi mempercepatkan dan mempermudahkan proses rundingan antara Petronas dan Petros.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, langkah ini penting bagi memastikan segala potensi besar hasil kerjasama antara dua syarikat minyak dan gas itu dapat diteroka secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan berkesan.
Antara fokus utama termasuk mempercepatkan pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara ASEAN.
Perdana Menteri dan Premier Sarawak turut mencapai kesepakatan agar semua isu yang berbangkit sebelum ini diselesaikan melalui kaedah rundingan dan persefahaman bersama.
Untuk rekod, hubungan antara Petronas dan Petros telah beberapa kali menjadi perhatian sejak Sarawak mengambil langkah memperkukuh kawalan ke atas sumber minyak dan gas di negeri itu selepas pembubaran Akta Darurat pada 2011.
Sarawak menubuhkan Petros pada tahun 2017 sebagai syarikat minyak dan gas milik negeri, sejajar dengan aspirasi untuk mengawal lebih banyak hasil bumi mereka berdasarkan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Langkah ini bagaimanapun menimbulkan ketegangan dengan Petronas, yang secara perundangan memiliki kawalan tunggal ke atas sumber petroleum negara berdasarkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974).
Beberapa isu berbangkit termasuk hak lesen penerokaan dan pengeluaran, hasil cukai jualan produk petroleum yang dikenakan Sarawak, serta keperluan penyelarasan antara kedua-dua syarikat untuk memastikan kelangsungan industri tenaga di Malaysia Timur.
Rundingan terkini dilihat sebagai langkah ke hadapan dalam menjernihkan hubungan dan mewujudkan kerjasama strategik antara Petronas dan Petros demi kepentingan ekonomi negeri dan negara.
Baca juga: