PETALING JAYA: Pemilihan PKR bagi tahun 2025 mencatat penyertaan memberangsangkan dengan seramai 251 calon menawarkan diri untuk bertanding di peringkat pusat, sekali gus mencerminkan komitmen ahli terhadap proses demokrasi dalaman parti.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa JPP telah menerima 104 pencalonan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), 85 bagi Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.
“Penyertaan yang memberangsangkan ini membuktikan bahawa KEADILAN tidak ketandusan bakat pelapis, malah mengukuhkan posisi parti sebagai wadah perjuangan yang terus memberi ruang kepada tokoh baharu dalam memperkasakan demokrasi dalaman parti,” katanya pada Ahad.
Tambahnya, dalam pemilihan kali ini, jawatan Presiden dan Ketua AMK tidak menyaksikan sebarang pertandingan.
Kata Dr Zaliha, selesai sesi pencalonan, proses seterusnya adalah tempoh bantahan terhadap pencalonan yang akan berlangsung pada 11 dan 12 Mei, manakala proses rayuan akan diadakan pada 13 dan 14 Mei.
“Senarai akhir calon-calon akan dimuktamadkan pada 15 Mei, dengan tempoh rasmi berkempen bermula sejurus selepas itu sehingga 22 Mei, jam 11.59 malam,” katanya lagi.
Dr Zaliha turut mengingatkan semua calon agar menjalankan kempen secara berhemah, matang dan saling menghormati antara satu sama lain selaras dengan tata etika yang ditetapkan.
“Pemilihan ini perlu menjadi ruang memperkukuh saf perjuangan dalam semangat kekeluargaan yang menjadi asas KEADILAN sejak sekian lama,” tambah Dr. Zaliha.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua calon dan anggota parti yang terus komited menjayakan proses pemilihan dengan tertib, telus dan penuh integriti, sambil menyifatkan komitmen itu sebagai lambang kekuatan sebenar PKR yang terus mara bersama rakyat.
Baca juga: