PETALING JAYA: Bermula tahun hadapan, penajaan pelajar bagi pengajian ijazah pertama ke Timur Tengah oleh Lembaga Zakat Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor tidak lagi diteruskan.
Sebaliknya, penajaan hanya akan diberikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah.
Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, penajaan untuk ijazah pertama akan diutamakan di Universiti Islam Selangor (UIS) atau universiti tempatan lain yang setaraf.
“Keputusan ini diambil bagi mengurangkan risiko pelajar terdedah kepada pengaruh atau anasir yang boleh menjejaskan pemikiran dan jati diri pelajar jurusan pengajian Islam.
“Bagaimanapun, pelajar yang tidak mendapat tempat di institusi dalam negeri masih boleh memohon untuk melanjutkan pengajian ke Timur Tengah dengan syarat ketat, antaranya memiliki latar belakang kukuh dalam pengajian Islam, penguasaan bahasa Arab serta kebolehan menghadapi cabaran akademik di Timur Tengah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, langkah ini juga selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem pendidikan Islam negeri yang telah lama dibina oleh JAIS.
Katanya lagi, UIS dipilih sebagai institusi utama kerana berada di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), serta terbukti mampu melahirkan graduan berkualiti dari segi ilmu dan akhlak untuk keperluan pasaran kerja.
“MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor turut mengalu-alukan permohonan daripada pelajar sedia ada yang sudah memiliki ijazah pertama dalam negara dan ingin menyambung pengajian ke peringkat sarjana atau doktor falsafah di institusi terkemuka di Mesir, Jordan atau Maghribi (Morocco).
“Penajaan bagi kumpulan ini akan terus dipertimbangkan berdasarkan kelayakan dan merit,” ujarnya.
Tarikh tutup permohonan bagi program penajaan pengajian Islam ke UIS atau universiti tempatan serta pengajian sarjana dan doktor falsafah ke Timur Tengah adalah pada Jun 2025, dengan sesi temuduga akan diadakan bagi menilai kesesuaian calon.
Baca juga: