PETALING JAYA: Pada Hari Ibu, hari ini, kita bukan sahaja meraikan kasih sayang seorang ibu tetapi juga kekuatan, ketabahan dan pengorbanan mereka yang tidak terhingga.
Dalam ingatan yang penuh makna, Nurul Izzah Anwar menzahirkan penghormatan kepada ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, seorang pemimpin yang teguh dan penuh prinsip.
Menurutnya, Dr Wan Azizah dari seorang doktor mata melangkah ke pentas reformasi dengan membawa harapan dan perjuangan yang tidak pernah padam.
“Saya teringat kembali tahun 1998, saat yang mengubah seluruh hidup kami.
“Waktu itu, saya masih di tahun akhir universiti dan mama (Dr Wan Azizah), dari seorang doktor mata tiba-tiba memikul beban berat gerakan reformasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Nurul Izzah berkata, pilihan ibunya itu adalah untuk mendahulukan perpaduan berbanding jawatan tertinggi negara menggambarkan kekuatan sebenar seorang wanita.
Penghargaan juga diberikan kepada ibu-ibu reformasi yang berani seperti Norhina yang membuka markas pertama di Sabah serta ramai wanita lain yang turut menyumbang kepada perjuangan ini.
Katanya, ingatan turut diberikan kepada wanita-wanita di Gaza yang tetap teguh mendidik anak-anak di tengah kemusnahan peperangan dengan menyalakan harapan dalam kegelapan.
Nurul Izzah yang juga calon Timbalan Presiden PKR berkata, di sebalik setiap langkah perjuangan terdapat sosok ibu yang penuh tekad dan pengorbanan.
Pada hari penuh makna ini, tambahnya, kita mengenang mereka dengan rasa hormat yang tidak terhingga.
“Al-Fatihah buat semua Ibu Reformasi yang telah kembali ke rahmatullah. Insya-Allah, kami teruskan langkah ini dengan semangat kalian dalam jiwa kami,” katanya.