Ulasan | BN Tersungkur di Tangan ‘Puteri Reformasi’

Oleh: Amidi Abdul Manan

ULASAN | PEMILIHAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2014, menyaksikan Nurul Izzah terpilih sebagai Naib Presiden dengan undi tertinggi. Beliau mendapat lebih 29,000 undi.

Manakala Rafizi pula hanya memperolehi sekitar 19,000 undi.

Jumlah undi Nurul Izzah juga mengatasi jumlah undi yang diperolehi oleh Azmin Ali iaitu 22,000 untuk mengalahkan Saifuddin Nasution untuk jawatan Timbalan Presiden.

Selaku Naib Presiden dengan undi tertinggi beliau diamanahkan sebagai Pengarah JPRP.

Pada 2015, berlakulah Langkah Kajang yang terpengaruh dengan kejayaan Erdogan sebagai Perdana Menteri Turkiye yang sebelumnya sebagai Datuk Bandar Istanbul.

Langkah Kajang ini gagal. Kesan daripada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihumban ke penjara secara tergesa-gesa pada 10 Februari 2015 dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ‘terpaksa’ menggantikan beliau bertanding di DUN Kajang.

Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, pulang ke rahmatullah pada 12 Februari 2015.

Situasi ini menyebabkan musuh politik ketika itu mengambil peluang lebih agresif untuk memecah belahkan PAS. Akhirnya di Muktamar PAS 2015 yang berlangsung di Kuala Selangor pada 4 hingga 6 Jun, beberapa pemimpin kanan PAS telah tersingkir dari parti berkenaan.

Kejadian ini akhirnya menyebabkan Pakatan Rakyat terkubur dan AMANAH ditubuhkan. Dari sini Pakatan Harapan dilancarkan pada tahun 22 September 2015.

Keadaan yang serba tidak menentu ini terpaksa ditempuhi oleh Nurul Izzah dalam memimpin JPRP.

Rafizi mengambil keputusan untuk ‘berehat’ setelah berlaku beberapa insiden yang melibatkan pertembungan dengan kem Azmin.

Azmin adalah duri dalam daging bagi kepimpinan parti ketika itu.

Bagi mempersiapkan parti berhadapan PRU ke 14, Nurul Izzah terpaksa menyederhanakan suhu pertembungan antara pemimpin tertinggi parti. Beliau juga terpaksa memikirkan untuk menjayakan penjenamaan Pakatan Rakyat kepada Pakatan Harapan.

Selain itu, beliau juga perlu berbincang membentuk kerjasama tanpa mengorbankan kepentingan parti dengan Parti Bersatu yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir.

Segala kepayahan itu terbalas apabila Pakatan Harapan berjaya memenangi 113 kerusi Parlimen dengan PKR sendiri memenangi 48 kerusi. BN tersungkur di tangan Puteri Reformasi. Begitulah takdir yang tertulis.

Jelas kekuatan parti kita adalah kekutan bersama secara inklusif dan kolektif. Bukan kekuatan individu tertentu.

Jangan kita terpengaruh dengan ‘kerehatan’ seseorang akan merosakkan kekuatan parti.

Contoh terkini adalah Langkah Sheraton. Walau segerombolan pemimpin dan anggota parti keluar mengkhianati perjuangan parti, parti tetap utuh dan berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke 15.

Andaian parti akan lumpuh kerana ‘parti anak-beranak’ jelas ia adalah tanggapan yang tidak berasas. Inilah cara kita, hubungan kekeluargaan tidak menjejaskan komitmen dan kesungguhan kita terhadap perjuangan suci ini seperti yang pernah ditunjuki teladannya oleh Baginda ar-Rasul s.a.w.

***Penulis juga merupakan Pengarah,
Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR

Anda Mungkin Berminat