PETALING JAYA: Ahli PKR, Dr Muhammad Faiz Na’aman, mengkritik pendekatan kempen calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang didakwanya telah menjejaskan imej parti dan menyimpang daripada matlamat asal perjuangan.
Dr Faiz yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU mendakwa, Rafizi telah menyerang parti sendiri, memuji parti lawan dan memberi peluru kepada musuh politik yang akhirnya mencetuskan persepsi negatif terhadap PKR.
“Rafizi tibai parti sendiri, puji parti lawan dan buat orang luar pandang serong kepada PKR. Marahkan nyamuk, kelambu dibakar,” katanya dalam satu kenyataan sambil membandingkan tindakan itu dengan pendekatan yang pernah diambil Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap UMNO suatu ketika dahulu.
Semalam, Rafizi berkata, beliau melihat keadaan yang mana ketika ini ramai berpusu-pusu menyertai parti itu untuk mengejar jawatan dan kuasa sehingga ada gerakan untuk menjatuhkan ‘orang lama’ yang jatuh bangun bersama parti.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, dalam isu membanteras rasuah, PKR masih lagi berada di belakang dengan hanya lapan peratus berbanding PAS yang berada di depan dengan 29 peratus.
Mengulas kenyataan itu, Dr Faiz mempertikai dan menegur sikap Rafizi yang seolah-olah meremehkan kehadiran ahli baharu dalam PKR yang dilabel kononnya hanya mengejar jawatan dan mencantas orang lama.
“Parti politik mana yang tiada orang kejar jawatan? Adakah Rafizi mahu hanya orang lama kekal tanpa dicabar? Rafizi sendiri pun dulu mencabar orang lama dalam PKR.
“Kalau benar PAS itu langsung tiada rasuah, eloklah Rafizi pertimbang untuk menyertai parti tersebut,” sindirnya.
Dalam kenyataan sama, Dr Faiz turut menyatakan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden PKR, disusuli sokongan kepada Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Naib Presiden serta Prof Dr Maszlee Malik dan Tuan Saifuddin Shafi Muhammad sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Baca lanjut: