Azam Baki Komited Perangi Rasuah

PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang telah memperkenankan pelantikan semula beliau untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 13 Mei hingga 12 Mei 2026.

Menerusi kenyataan pada Isnin, Azam Baki menyifatkan lantikan semula itu sebagai satu penghormatan besar kepada SPRM serta pengiktirafan terhadap usaha berterusan dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

“Ucapan terima kasih turut saya zahirkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan dukungan berterusan dalam meneruskan amanah ini.

“Dengan penuh kesedaran terhadap tanggungjawab dan amanah yang diberikan, saya akan terus menerajui usaha SPRM dalam membanteras segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa demi mewujudkan sebuah negara yang makmur, adil dan sejahtera,” katanya.

Tambahnya, SPRM juga komited untuk meningkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara agar Malaysia terus dihormati dan diyakini di peringkat antarabangsa.

“Semoga ALLAH SWT melimpahkan rahmat serta kesejahteraan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri dalam memimpin negara ke arah masa depan yang gemilang,” ujarnya.

Sebelum ini, Azam, 62, telah dua kali dilantik semula bagi memegang jawatan tersebut masing-masing selama setahun, iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya, selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Anda Mungkin Berminat