PETALING JAYA: Malaysia kehilangan seorang tokoh besar hari ini dengan pemergian Datuk Rasammah Bhupalan, seorang pejuang hak wanita dan pendidik yang telah mencorakkan sejarah negara dengan perjuangannya yang teguh dalam keadilan sosial dan kesetaraan gender.
Mendiang yang pernah mencurahkan bakti sebagai guru di Methodist Girls’ School Penang, dikenang sebagai seorang yang tidak pernah gentar dalam memperjuangkan hak wanita termasuk prinsip “gaji yang munasabah untuk kerja yang setara”.
Dalam satu hantaran di Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenang Rasammah bukan sahaja sebagai seorang pejuang keadilan tetapi juga sebagai individu yang pernah mendukungnya di saat-saat sukar.
Di era gelap 1998, beliau antara suara yang memberi sinar dan menjadi sumber kekuatan kepada saya dan keluarga.
“Pemergiannya pasti meninggalkan bekas yang mendalam tidak hanya kepada saya secara peribadi, malah kepada negara dan rakyat juga,” katanya.
Menurut Anwar, sebagai seorang aktivis yang tidak pernah lelah memperjuangkan hak wanita dan keamanan, legasi Rasammah akan terus menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan berharap agar perjuangannya terus dihayati oleh rakyat Malaysia.
Tambahnya, pemergian Rasammah Bhupalan bukan sekadar kehilangan seorang individu tetapi juga sebuah era perjuangan yang telah membentuk asas keadilan dan kesetaraan di negara ini.
“Semoga legasinya dihayati oleh semua terutama dalam usaha mengangkat suara dan hak kaum wanita sebaiknya,” ujarnya.