Nurul Izzah Santuni Akar Umbi Di Jelajah Anjuran Ibu Pejabat PKR

SKUDAI: Nurul Izzah Anwar hadir menyantuni akar umbi apabila hadir dalam siri Jelajah ‘KITA KEADILAN’ Zon Selatan di Skudai, Johor kelolaan Ibu Pejabat PKR.

Nurul Izzah menghadirkan diri bagi mengukuhkan sokongan akar umbi dan menonjolkan visi kepimpinan beliau.

Kehadirannya dalam program itu bukan sekadar simbolik tetapi satu langkah taktikal dalam membina momentum menjelang pemilihan parti.

Dalam konteks pemilihan kali ini, Datuk Seri Rafizi Ramli, penyandang jawatan Timbalan Presiden telah menyatakan bahawa kemenangan Nurul Izzah adalah penting bagi kestabilan parti.

Beliau berkata, sekiranya Nurul Izzah tewas, ia boleh mencetuskan naratif bahawa anggota parti menolak kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR.

Oleh itu, sokongan terhadap Nurul Izzah bukan sahaja berkaitan dengan kepimpinan individu tetapi juga keseimbangan politik dalam PKR.

Dalam pemilihan kali ini, Nurul Izzah bukan sahaja berdepan dengan cabaran politik dalaman tetapi juga persepsi luar mengenai nepotisme dalam parti.

Namun, beliau bijak mengolah naratif dengan menekankan peranan wanita dalam kepimpinan seperti yang ditunjukkan dalam kempen beliau di Perak.

Pendekatan itu memperlihatkan usaha beliau untuk membina sokongan yang lebih luas dan bukan sekadar bergantung kepada legasi keluarga.

Dengan pemilihan PKR semakin hampir, Jelajah KITA KEADILAN menjadi medan penting bagi calon-calon untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

Nurul Izzah telah memanfaatkan platform ini dengan baik, menjadikannya sebagai ruang untuk membina keyakinan dan sokongan dalam kalangan ahli parti.

Anda Mungkin Berminat